top of page
Search

SISTEM

Sistem merupakan satu peraturan atau proses yang perlu dipatuhi untuk melakukan sesuatu perkara. Manusia hidup di dunia ini pada awalnya tanpa sebarang sistem yang perlu mereka patuhi apabila melakukan sesuatu perkara. Namun, kesedaran yang mula wujud dalam pemikiran umat manusia telah mendorong mereka untuk membentuk sistem. Kesedaran ini wujud apabila manusia mula merasakan kecelaruan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Huru-hara yang berlaku dalam urusan seharian turut menjadi faktor mengapa kesedaran ini wujud. Rasa tidak nyaman yang mereka alami telah memaksa rasa kesedaran ini timbul dan mendorong mereka untuk berfikir.


Manusia sememangnya berfikir dan ia tidak boleh untuk berfikir agar ia tidak berfikir. Kerana untuk tidak berfikir, seseorang itu turut memerlukan proses berfikir. Oleh yang demikian, fikiran kita sememangnya tidak mungkin berhenti berfikir melainkan jika kita mati. Namun, apabila kesedaran muncul dalam diri, proses berfikir yang akan wujud adalah proses berfikir pada tahap yang lebih tinggi, iaitu proses berfikir aras tinggi.


Proses berfikir aras tinggi tidak mungkin berlaku tanpa adanya kesedaran. Proses berfikir aras tinggi ini mula wujud dengan adanya kesedaran yang menjadi dorongan kepada kedalaman pemikiran seseorang. Disinilah manusia mula berfikir berkenaan solusi dan cara untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Permasalahan ini wujud dengan adanya rasa kesedaran dalam akal seseorang. Masalah ketidakaturan dan huru-hara yang dirasai melalui kesedaran telah menyebabkan manusia berfikir lalu mewujudkan sistem.


Sebagai contoh, hidup sebelum adanya sistem telah menyebabkan manusia merasakan ia boleh melakukan apa sahaja yang ia inginkan. Itu adalah haknya, hak yang bebas tanpa sistem dan tiada siapa boleh menafikan hak yang ia miliki. Oleh itu, seseorang itu boleh melakukan apa sahaja seperti mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya. Namun, hal tersebut telah menyebabkan satu pertentangan diantara hak individu yang lain. Hak seseorang itu untuk tidak dicuri barangnya, hak seseorang untuk tidak dirompak, dan hak seseorang untuk hidup. Tetapi individu lainnya ini pula tidak boleh melarang tindakan individu lain untuk mencuri, kerana itu juga merupakan hak yang ia miliki.


Di sini bermulanya kecelaruan dalam masyarakat yang hidup tanpa peraturan yang ditentukan oleh sistem. Lalu, sistem dibentuk dan dirangka mengikut keperluan bagi memastikan segala urusan berlangsung dengan baik. Undang-undang diwujudkan bagi melarang tindakan mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain lagi perbuatan yang menyebabkan hak inidvidu lainnya dicabuli atau diganggu-gugat. Sistem yang ada juga telah mewujudkan konsep yang baru tentang hak yang positif dan hak yang negatif. Hak yang positif adalah satu hak yang boleh dilakukan kerana ia tidak melibatkan pencabulan dan penafian hak individu lainnya. Hak yang negatif pada sudut lainnya pula merupakan satu hak yang tidak boleh dilakukan kerana ia akan menyebabkan berlakunya pencabulan dan penafian hak individu yang lain.


Walaupun hak untuk mencuri, merompak, dan membunuh dinafikan, namun ia memberi kesan yang positif kerana ia mengelakkan berlakunya pergaduhan antara individu. Oleh itu hak yang dilihat ‘negatif’ telah dihapuskan dengan bantuan sistem yang mengikat masyarakat yang pada awalnya bercelaru, huru-hara dan tidak terarah tentang ‘hak’.

Namun, golongan pemegang ‘hak negatif’ ini masih boleh hidup dengan hak-hak mereka yang tidak menafikan hak golongan lainnya. Jika sesiapa melakukan perlakuan penafian hak individu lainnya, mereka akan dihukum oleh peraturan di dalam sistem yang telah dibentuk. Oleh yang demikian, pelanggaran, pencabulan dan penafian hak boleh dibendung. Kecelaruan dan huru-hara dapat dikurangkan dengan adanya sistem yang dibentuk bagi mengatur kehidupan manusia.


Jika dilihat melalui huraian yang penulis berikan, sistem sememangnya baik dan sangat membantu dalam urusan seharian manusia. Agama juga merupakan antara contoh lain sistem yang sangat baik dalam kehidupan manusia. Agama telah menentukan mana baik dan tidak baik kepada penganutnya. Dalam sistem agama juga telah ditentukan apakah yang perlu dipatuhi dan dilakukan bagi memastikan kehidupan manusia dalam keadaan aman dan sentosa.


Tetapi, mengapa ada yang mengatakan bahawa sistem mewujudkan kesan negatif? Kesan apa yang negatif?


Kemandulan minda.

Terbelenggu dengan sistem.

Terikat dengan sistem.

Akal dan minda yang dikilangkan.


Mungkin banyak lagi kesan yang wujud dan timbul akibat daripada manusia yang terlalu berkiblatkan sistem. Tetapi empat kesan di atas adalah antara yang amat ketara dan jelas penulis lihat berlaku dalam persekitaran kehidupan seharian penulis sebagai seorang mahasiswa.


Sistem tidak dinafikan baik dan bagus untuk diimplementasikan dalam kehidupan seharian kita. Tetapi, ia tidaklah seratus peratus benar kerana tidak mungkin akan ada di dunia ini perkara yang sempurna tanpa ada cacat cela. Begitu juga dalam urusan agama, terdapat perbezaan pandangan dalam cara melakukan sesuatu amalan. Oleh itu wujud pelbagai mazhab yang merupakan penentu (sistem) kaedah dalam melakukan sesuatu.


Permasalahan dan kesan negatif ini timbul apabila manusia atau masyarakat yang hidup di dalam sistem tesebut tidak menyedari bahawa hak positif mereka telah dinafikan oleh sistem yang membelenggu. Sikap terlalu berkiblatkan sistem ini telah menyebabkan mereka menjadi patung yang tidak boleh berfikir secara rasional!


Bagaimana hal ini boleh berlaku? Sedangkan sistem itu diwujudkan melalui kesedaran. Kemanakah perginya kesedaran yang mewujudkan sistem? Keterikatan terhadap sistem tidak salah, namun yang salahnya adalah apabila keterikatan tersebut berlangsung tanpa ada rasa kesedaran. Menurut, mengikut, dan patuh secara berkhayal dan membabi buta.


Hal ini boleh dilihat apabila sistem terlalu mengikat sehinggakan hak-hak positif kelompok manusia dinafikan dan dicabuli. Misalnya, sistem yang meletakkan autoriti yang sangat tinggi dan keterlaluan kepada seseorang dalam masyarakat. Dalam sistem ini, si pemegang autoriti boleh melakukan apa sahaja yang ia inginkan. Autoriti yang keterlaluan ini sememangnya akan menafikan hak kelompok manusia yang hidup di dalamnya. Misalnya hak untuk kelompok itu membincangkan hal yang berkaitan dengan dirinya. Apabila ia tidak boleh melakukan satu perbincangan kerana autoriti yang sangat besar ini, itu adalah pelanggaran hak!


Bagi menjelaskan lagi tentang permasalah sistem yang memberikan hak dan autoriti berlebihan kepada individu dalam kelompok manusia, boleh fahami melalui cerita di bawah.


Kampung Seni Menawan merupakan perkampungan yang sangat indah dan memiliki ramai penduduk kampung yang sangat mesra. Di dalam kampung tersebut, terdapat seorang ketua kampung yang mempunyai kuasa mengurus dan melaksanakan pembangunan di kampung tersebut. Pada suatu hari, terdapat tiga pemuda dari kota datang ke kampung tersebut dengan tujuan mencari kawasan petempatan bagi mereka membina kilang kertas. Mereka telah bertemu dengan ketua kampung Seni Menawan bagi menyampaikan hasrat mereka itu. Ketua kampung Seni Menawan sangat teruja dengan tawaran yang disebutkan oleh tiga pemuda tersebut.


Ketua kampung bersetuju menjual tanah dihujung kampung Seni Menawan. Di tanah tersebut terdapat beberapa buah rumah milik penduduk kampung Seni Menawan. Mereka telah tinggal di kawasan tersebut lebih kurang 40 tahun lamanya. Mereka merupakan antara penduduk kampung yang banyak memberi sumbangan dalam aktiviti kampung tersebut. Sehinggakan kampung Seni Menawan dapat mempertahankan gelaran ‘Kampung Paling Ceria’ selama 7 tahun berturut-turut dalam pertandingan tahunan bagi setiap kampung di daerah tersebut.


Tindakan ketua kampung menjual tanah dihujung kampung itu tidak diketahui oleh komuniti di sana. Pada hari pertama, tiba beberapa orang wakil daripada syarikat pemuda-pemuda yang membeli tanah tersebut datang dan menyatakan bahawa meraka telah membeli tanah tersebut dan meminta komuniti kawasan tersebut agar mengosongkan rumah mereka bagi memudahkan urusan perobohan. Komuniti di kawasan tersebut terpinga-pinga dan sangat terkejut mendegar apa yang dikatakan oleh beberapa pemuda yang datang itu. Mereka meminta penjelasan tentang siapakah yang menjual tanah tersebut dan siapa yang mengambil wang jualan tanah tersebut jika ia benar dijual. Apabila mengetahui bahawa itu adalah tindakan ketua kampung, mereka hanya akur dan tunduk.


Mereka keluar daripada rumah mereka dan membiarkan rumah tersebut dirobohkan. Mereka tahu bahawa ketua kampung Seni Menawan mempunyai kuasa untuk melakukan demikian. Oleh itu, mereka tidak mampu melakukan apa-apa. Komuniti penduduk dihujung kampung Seni Menawan tidak berumah dan hidup berpindah-randah mencari tempat berteduh. Jika mereka menentang tindakan tersebut, itu bermakna mereka telah melanggar sistem yang telah sekian lama diamalkan yang telah mengatur kehidupan mereka.


Demikianlah sistem yang mengikat, mewujudkan satu pemikiran yang tidak rasional sehinggakan hak positif mereka dinafikan oleh sistem yang terlalu meletakkan autoriti kepada seorang individu di dalam masyarakat. Jika punya kesedaran, komuniti yang tertindas oleh ketua kampung Seni Menawan itu akan melakukan bantahan dan membawa hal tersebut kepada proses perbincangan. Tetapi, hidup mereka terlalu berkiblatkan sistem, bukan lagi berkiblatkan kesedaran. Oleh itu, mereka hanya tunduk dan akur dengan apa yang berlaku.


Jika mereka melakukan penentangan dan mendesak untuk melakukan perbincangan sebelum apa-apa keputusan dibuat oleh ketua kampung, hal tersebut akan menimbulkan satu respon yang tidak baik daripada penduduk kampung Seni Menawan yang lainnya. Mungkin golongan yang tertindas ini dikatakan biadap, kurang ajar dan tidak bijak kerana melakukan penentangan dan mendesak ketua kampung. Hal ini kerana pemikiran yang terlalu ‘menyembah’ sistem sehingga tidak dapat menghidu bahawa wujudnya penindasan dan penafian hak positif oleh ketua kampung. Mereka telah dibutakan oleh ‘kebiasaan’ sistem yang patuh dan akur.


Begitulah apa yang penulis boleh katakan sebagai manusia terbelenggu sistem yang menyebabkan mereka tidak boleh berfikir tentang hak mereka. Hal ini sememangnya satu bentuk penindasan! Sistem yang ada seharusnya memberikan limitasi dalam pembuatan keputusan golongan yang berautoriti. Membenarkan partisipasi dari golongan yang turut berada dalam sistem tersebut. Hal ini kerana mereka mempunyai hak, hak yang mereka miliki setelah mereka hidup di dalam sistem yang menjadi aturan hidup mereka.


Sistem yang terlalu mengikat juga akan menyebabkan berlakunya proses ‘pengilangan’ akal dan minda manusia. Setiap orang akan merasakan mereka harus berfikir seperti cara ‘kebiasaan’ ini sahaja. Jika mereka berfikir bertentangan dengan pegangan dan pemikiran semasa, mereka adalah orang yang sesat! Ini berlaku dalam sistem yang sangat mengikat dan ia membawa kepada pemandulan akal dan minda!


Lihat sahaja sepertimana sistem yang diamalkan di beberapa buah negara yang kononnya berpegang kepada ideologi komunisme, apa yang berlaku adalah pemandulan akal dan minda! Rakyat tidak boleh melakukan apa yang mereka suka. Rakyat harus melakukan menurut perintah dan kehendak pihak atasan yang memegang autoriti tertinggi. Hal ini kerana mereka ingin mengawal rakyat bawahan! Mereka ingin memastikan golongan bawahan itu mengalami pengilangan akal dan minda! Ini adalah salah satu kejijikan sistem yang menyebabkan manusia tidak boleh berfikir secara waras.


Sistem itu terkadang baik, kerana ingin mengatur hidup manusia. Memastikan hidup manusia itu tidak bercelaru dan berlangsung dengan penuh sistematik. Tapi oleh kerana adanya ketidakseimbangan di dalam sistem, berlaku pula penafian hak golongan lainnya, terutamanya golongan bawahan yang tidak mempunyai apa-apa autoriti di dalam sistem. Mereka bukan golongan penentu perjalanan sistem, tetapi mereka orang yang telah dimandulkan akal dan mindanya oleh sistem yang mengikat dan menafikan hak positifnya.


Oleh itu, pergerakkan sistem haruslah disusuli dengan kesedaran. Kesedaran yang mewujudkan sistem, maka biarkan kesedaran itu kekal ada. Jangan ditenggelamkan kesedaran dengan adanya sistem. Sistem juga harus diikuti dan diterima dengan sikap skeptisme. Mengapa? Bagi memastikan kita tidak mudah untuk dimanipulasikan oleh sistem. Sistem itu sememangnya mempunyai tujuan yang baik. Tetapi, orang yang menggunakan sistem itu (orang berautoriti di dalam sistem), semestinya punya agenda yang berpaksikan kepentingan diri mereka. Mereka akan katakan, ‘ini adalah seperti sistem yang ditetapkan’, ‘ia sememangnya telah ditentukan sebegini rupa’, ‘kita harus mengikut prosedur’, dan pelbagai lagi kata-kata yang di dengar sepertinya birokrasi, tapi sebenarnya adalah autokratik! Autokratik individu yang mempunyai autoriti!


Jadi, jangan sesekali pernah mengabaikan akal fikiran sendiri apabila menghadapi soal-soal yang dicipta oleh manusia, iaitu sistem. Pastikan kesedaran itu ada, jika dilihat suatu sistem itu melebihkan hak dan autoriti seseorang, itu adalah penindasan kepada golongan majoriti oleh minoriti yang berautoriti


Jangan kerana ingin mendapat pembelaan golongan berautoriti dalam sesuatu sistem, kita sanggup menjilat, mematuhi, dan menghambakan diri dengan penuh hina. Tetapi jadilah orang yang sedar. Melawan! Berfikiran berbeza dan mengkritik segala kejengkelan yang ada dari atas. Kerana kritikan itu akan mewujudkan satu hal yang baru, yang akan lebih membela yang dibawah. Ini adalah dunia yang berkembang, konstruktif! Usah lagi jadi orang yang menurut, mengikut, dan patuh secara berkhayal dan membabi buta. Kerana itu akan membawa kepada natijah yang tidak baik, iaitu kemandulan pemikiran, penerusan penindasan, perbelengguan manusia oleh sistem dan pengilangan manusia.


 
 
 

Commenti


Post: Blog2_Post

©2020 by The Pemikir.

bottom of page