top of page
Search

DIALEKTIKAL MATERIALISME KARL MARX: MENJELASKAN PERKEMBANGAN SEJARAH



Siapa tidak mengenali susuk yang bernama Karl Heinrich Marx yang merupakan seorang ahli falsafah dari pada Jerman. Beliau amat terkenal dengan fahaman komunisme yang telah beliau asaskan. Karl Marx dilahirkan di Trier, Jerman, pada tahun 5 Mei 1818 dan meninggal dunia pada 14 Mac 1883 di London, England. Beliau berasal daripada keluarga berketurunan Yahudi, namun telah menukar agama kepada agama Kristian. Hal ini kerana ayah Marx ingin berkhidmat sebagai peguam di Prussia yang mengamalkan dasar anti-Yahudi. Oleh itu, bagi memastikan ia dapat bekerja di sana, beliau terpaksa menukar agamanya atas kepentingan ekonomi. Karl Marx telah menuntu di Bonn dan Berlin dalam bidang perundangan, kemudian beliau menulis tesis PhD dalam bidang falsafah mengenai perbandingan pandangan-pandangan dua orang tokoh falsafah iaitu Democritus dan Epicurus. Karl Marx telah menjadi seorang jurnalis, dan beliau banyak terlibat dalam hal-hal yang berkait dengan isu-isu politik dan sosial. Hal tersebut telah menimbulkan minat dalam diri beliau mengenai hal ehwal politik dan sosial. Beliau banyak terpengaruh dengan idea-idea yang diperkenalkan oleh Hegel, dan beliau juga pernah bergerak di dalam gerakan Hegelian Muda atau Young Hegelians. Di sinilah sebenarnya mengapa dalam teori yang beliau perkenalkan terdapatnya sedikit persamaan seperti pendekatan Hegel, iaitu dialektikal.


Dialektikal yang dianuti oleh Karl Marx tidaklah sama seperti mana yang telah diperkenalkan oleh Hegel. Hal ini kerana dialektikal yang telah diwujudkan oleh Karl Marx ini dipengaruhi oleh unsur-unsur materialisme yang telah beliau perolehi apabila banyak mendekatkan diri kepada karya-karya Feuerbach. Selain itu, tesis beliau juga telah menyentuh dua orang ahli falsafah yang turut membincangkan soal kebendaan iaitu Democritus dan Epicurus. Kalau dilihat secara asasnya, asas kepada idea Karl Marx mengenai materialisme oleh beliau telah dibicarakan lama oleh tokoh-tokoh sebelumnya, namun apakah yang membuatkan Karl Marx istimewa dan pelopor kepada sebuah idea yang baharu?


Apa yang istimewa pada materialisme Karl Marx ialah kejayaan beliau dalam usaha membuat analisis dan sintesis yang logik mengenai perkembangan sejarah. Berbeza dengan pemikiran Hegel yang hanya mengubah realiti dengan hanya mengubah cara faham yang mana bagi Karl Marx tidak akan mengubah apa yang berlaku disekeliling kita. Maka, beliau telah wujudkan dialektikal materialisme yang padanya adalah satu analisis yang saintifik dalam menjelaskan perkembangan sejarah yang berlaku.



Perkembangan Sejarah Menurut Karl Marx


Karl Marx telah menganggap bahawa perkembangan sejarah yang berlaku adalah berdasarkan lima peringkat. Perkembangan ini dilakukan oleh beliau adalah menggunakan dialektikan materialisme yang beliau wujdukan. Peringkat pertama dalam sejarah manusia menggambarkan bahawa manusia itu hidup secara primitif. Penguasaan mula wujud pada satu peringkat yang mana telah membentuk sistem perhambaan yang telah menyebabkan terjadinya tradisi perhambaan dalam tamadun manusia. Akibat daripada dorongan kesedaran ekonomi yang mula wujud dalam diri manusia, maka wujud pula apa yang disebutkan sebagai sistem feudal yang mana golongan tuan tanah menjadi pendominasi ekonomi yang utama. Hanya golongan tertentu sahaja yang akan dapat merasakan nikmat material ekonomi pada ketika itu. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati lalu mewujudkan anti-tesis iaitu kapitalisme yang telah membuka ruang ekonomi seluas-luasnya dan persaingan berlaku tanpa ada penghadangnya. Namun, ia tidak berlangsung sepertimana yang diidamkan, berlakunya golongan yang dieksploitasi. Oleh itu wujud pula satu anti-tesis yang menentang kapitalisme iaitu komunisme. Ini adalah peringkat sejarah manusia yang terakhir pada pengimanan golongan yang pro-Marxisme. Pada peringkat ini, masyarakat ideal akan terbentuk dan tidak ada pembahagian kelas berlaku. Masyarakat akan menikmati limpahan ekonomi yang adil dan sama rata tanpa ada satu pun individu yang akan memiliki aset-aset pengeluaran sehingga menyebabkan ia lebih kaya berbanding yang lain. Demikianlah peringkat perkembangan sejarah yang telah dianalisis oleh Karl Marx.



Dialektikal Materialisme


Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, dialektikal materialisme merupakan satu idea yang telah diperkenalkan oleh Karl Marx dengan kombinasi diantara analisis Hegel yakni dialektikal dengan fahaman materialisme yang menjadi pegangan Karl Marx. Dialektikal materialisme ini wujud bertujuan untuk membuat satu sintesis yang tidak hanya bersifat idealistik tetapi ingin menggerakkannya secara fizikal. Karl Marx kurang senang dengan idea dialektikal yang diperkenalkan oleh Hegel kerana beliau menganggap bahawa ia tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada masyarakat. Oleh itu, dialektikal materialisme telah menjadi satu analisis yang akan menjawab persoalan bagaimana masyarakat boleh diubah dan melakar sejarah.


Dialektikal materialisme adalah merujuk kepada pertentangan yang berlaku di antara dua golongan, iaitu borjuis dan proletariat. Sebenarnya wujud juga golongan kelas menengah, namun akibat daripada penguasaan kapitalisme liberal yang sangat kuat, maka golongan kelas menengah ini turut menjadi mangsa kapitalisme liberal dan masuk ke dalam kelas proletariat. Pertentangan antara kedua-dua golongan ini adalah berpunca daripada penguasaan ekonomi yang melampau oleh golongan borjuis atau pemodal. Golongan ini telah mengeksploitasi golongan proletariat dengan cara ‘penghisapan’ atau ‘kerahan’ tenaga buruh yang melampau.


Penghisapan dan kerahan yang dilakukan ini sememangnya telah menyebabkan nilai tenaga buruh tidak dihargai oleh golongan borjuis. Mereka hanya melihat buruh sebagai aset modal yang akan memberikan keuntungan maksimum kepada mereka jika berjaya dikerahkan dan dihisap tenaganya dengan baik. Karl Marx menganggap bahawa upah yang diberikan kepada buruh adalah tidak setara atau setimpal dengan apa yang buruh tersebut lakukan. Golongan borjuis juga dikatakan hanya membeli tenaga buruh atas tujuan keuntungannya dan melakukan penghisapan terhadap tenaga buruh tersebut bagi mendapat nilai tambah yang lebih. Di sini sebenarnya telah hilang nilai menghargai sepertimana yang mereka harus berikan kepada golongan buruh yang telah membantu mereka (borujuis) dalam urusan pengeluaran. Oleh itu, Karl Marx sangat menentang realiti yang berlaku dalam masyarakat kapitalisme tersebut.


Berikutan daripada tekanan golongan borjuis tadi, maka golongan proletariat atau buruh melakukan satu tindakan menggulingkan pemerintahan yang mengamalkan dasar kapitalisme tersebut. Usaha penggulingan ini akan berlaku dalam bentuk revolusi, iaitu satu perubahan yang drastik bagi memastikan matlamat golongan proletariat ini tercapai. Selepas revolusi yang dilakukan oleh golongan proletariat ini (yang berasaskan pertentangan kelas) maka wujudlah satu pemerintahan yang akan diuruskan oleh golongan proletariat itu sendiri. Pemerintahan itu hanyalah bersifat sementara, ia akan berusaha untuk menghapuskan hak milik peribadi individu terhadap alat pengeluaran. Tiga perkara penting yang ingin dilakukan oleh golongan pemerintah sementara yang telah berjaya menggulingkan kerajaan kapitalisme ialah menhapuskan selama-lamanya kelas-kelas dalam masyarakat, menghapuskan pembahagian kerja dan menghapuskan hak milik peribadi terhadap alat-alat pengeluaran. Dengan tercapainya tida perkara ini, maka masyarakat akan mencapai ke tahap masyarakat sosialis yang disebut oleh Karl Marx sebagai masyarakat komunis.


Perkembangan sejarah melalui sudut pandang Karl Marx adalah berasaskan kepada pertentangan kelas dan perjuangan ekonomi oleh masyarakat. Masyarakat akan berhempas pulas untuk mendapat penguasaan tampuk pemerintahan bagi memastikan wujudnya ekonomi sepertimana yang mereka inginkan. Tesis di dalam dialektikal materialisme Karl Marx ialah sistem ekonomi politik kapitalisme liberal yang diamalkan pada era semasa (dikuasai oleh golongan borjuis) dan anti-tesis pula ialah golongan proletariat yang ingin mengahpuskan nilai-nilai dalam sistem ekonomi politik kapitalisme liberal. Maka, pertentangan atau dialektikal antara kedua-dua kenyataan ini (pada sudut pandang Karl Marx) akan mewujudkan kemunculan negara yang mengamalkan sistem ekonomi politik komunisme.


Jika dilihat kepada apa yang dilakukan oleh Karl Marx adalah usaha untuk menjelaskan satu teori atau spekulasi tentang apa yang akan berlaku dengan analisis yang logik. Beliau merasakan bahawa elemen material yang wujud dalam idea dialektikal materialisme yang beliau perkenalkan itu telah cukup bagi menggambarkan bahawa analisi yang dilakukan olehnya adalah saintifik sifatnya. Tidak seperti analisis-analisis sebelumnya yang bersifat idealistik dan hanya bersandarkan kepada rasional semata-mata. Sememangnya analisis yang Karl Marx lakukan sangat kuat dan jelas dalam penghujahannya sehingga mewujudkan sintesis yang sangat meyakinkan, namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Benar, memang berlakunya era di mana sistem ekonomi politik kapitalisme liberal mengalami tekanan akibat daripada pengeluaran yang tidak terkawal akibat mengejar keuntungan oleh golongan borjuis. Namun, tidaklah berlaku perubahan ekonomi dunia secara total kepada ekonomi komunisme seperti mana yang diyakini dan dipercayai oleh Karl Marx.


Apa yang berlaku adalah wujudnya kapitalisme monopoli, iaitu sebuah sistem ekonomi politik yang dikawal oleh pemerintah pada setiap pengkhususan bidang ekonomi tersebut. Walaupun tidak berlakunya sepertimana yang telah dianggap oleh Karl Marx dalam sintesisnya, analisis yang beliau lakukan sangat jelas dan meyakinkan sehingga berjaya menarik ramai tokoh-tokoh selepas beliau yang masih lagi berpegang kepada ideologi yang beliau asaskan itu.


Oleh itu, dialektikal materialisme yang diperkenalkan oleh Karl Marx ini sememangnya usaha yang baik dalam menjelaskan perkembangan sejarah. Asas yang terpenting di dalam idea ini ialah pertentangan kelas antara golongan proletariat dan golongan borjuis. Pertentangan yang berintikan ekonomi dan dunia material ini mewujudkan satu sintesis akhir iaitu penguasaan komunisme terhadap tampuk pemerintahan. Pemeintahan yang sebelumnya adalah merujuk kepada pemerintahan mengamalkan dasar ekonomi tidak seimbang dengan sebab pemilikan terhadap aset-aset pengeluaran oleh individu yang berlaku. Pemilikan aset-aset pengeluaran oleh individu ini telah menyebabkan hanya golongan minoriti (kapitalis dan borjuis) yang dapat menikmati laba ekonomi. Oleh itu, usaha kearah menghapuskan pemilikan aset tersebut giat dilakukan dan jika berjaya ia akan mewujudkan satu masyarakat tanpa kelas.




“Sejarah bagi semua masyarakat yang wujud sampai kini adalah sejarah perjuangan (pertentangan) kelas … manusia bebas dan hamba, golongan bangsawan dan rakyat, tuan tanah dan hambanya, pemilik syarikat sekerja dan tukangnya, ringkasnya, yang menindas dan tertindas sentiasa sahaja bertentangan antara satu sama lain, melaksanakan perjuangan yang terus-menerus, yang kadangkala tersembunyi dan kadangkala terbuka, yang setiap kali berakhir sama ada dengan pembentukan semula yang revolusioner bagi masyarakat itu secara keseluruhannya ataupun kemusnahan bagi kelas-kelas yang berjuang.”


Karl Marx & Engels dalam The Communist Manifesto

 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post

©2020 by The Pemikir.

bottom of page