top of page
Search

DIALEKTIKA HEGEL DALAM FALSAFAH SEJARAH



Georg Wilhelm Friedrich Hegel (1770-1831)


George Wilhelm Friedrich Hegel merupakan seorang ahli falsafah idealis yang amat terkenal pada abad ke-18 dan ke-19. Beliau lahir di Stuggart, Jerman pada 27 Ogos 1770 dan meninggal dunia pada 14 November 1831. Beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Tubingen dengan mengambil bidang falsafah dan klasaik pada tahun 1788 dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang tersebut pada tahun 1790. Antara karya beliau yang terkenal ialah Phenomenology of Spirit, Elements of the Philosophy of Right, dan Science of Logic. Hegel amat terkenal sebagai seorang ahli falsafah idealis (bertentangan dengan golongan materialisme). Antara idea beliau yang sangat terkenal dalam dunia ilmu falsafah ialah Triad Hegel.


Seorang Ahli Falsafah Idealis


Idealisme dalam falsafah adalah merujuk kepada satu aliran yang mempercayai kepada keunggulan pemikiran dan minda (mementingkan taakulan). Konsepsi berkenaan idealisme ini juga ialah keyakinan bahawa mental (yakni minda, roh/semangat, sebab-musabab, dan keinginan) merupakan asas yang utama dalam memahami realiti. Semua perkara yang kita ketahui akan meresap ke dalam pemikiran dengan aktiviti minda yang kreatif, formatif, dan konstruktif lalu pada penghujung proses tersebut ia akan disebut sebagai pengetahuan umum dan pengetahuan kendiri. Idealisme amat menekankan peranan idea dan roh dalam membuat tafsiran mengenai apa yang berlaku pada dunia luar (external world). Ia mempercayai bahawa segala yang wujud di dunia luar itu ‘ada’ kerana adanya ‘kesedaran’ minda. Kesedaran merupakan satu-satunya realiti sebenar yang harus setiap manusia percayai. Tanpa adanya kesedaran minda, manusia tidak mungkin dapat menikmati kewujudan setiap perkara di sekelilingnya. Kesedaran minda ini berlangsung atas perspektif/dimensi mental dan idea-idea. Melalui dimensi mental dan idea-idea ini, maka terciptalah segala perkara yang kita boleh lihat di sekeliling kita. Persekitaran kita juga boleh diubah melalui proses perubahan dimensi mental dan idea-idea di dalam pusat pemikiran minda kita.


Terdapat dua bentuk asas idealisme, iaitu idealisme metafizikal dan idealisme epistimologikal. Idealisme metafizikal menegaskan idea tentang realiti. Idealisme epistimologikal pula merujuk kepada suatu aktiviti atau proses untuk mendapatkan ilmu pengetahuan di dalam minda manusia yang menekankan aktiviti psikik iaitu satu proses berfikir menjangkaui perkara-perkara fizikal (metafizik).



Triad Hegel


Triad Hegel atau Hegel Triad merupakan satu konsep yang diperkenalkan oleh Hegel dalam usahanya untuk menjelaskan berkenaan perkembangan peristiwa sejarah. Prinsip asas yang menggerakkan Triad Hegel ini adalah diaklektikal atau pertentangan. Pertentangan yang berlaku adalah diantara tesis dan anti-tesis, pertentangan ini kemudiannya akan membentuk satu kesimpulan iaitu sintesis. Pertentangan yang berlaku adalah berasaskan kesedaran, kesedaran yang ada akan mewujudkan idea baharu yang akan menggugat serta bertentangan dengan idea yang lama. Ini sebenarnya perspektif minda yang berlainan antara dua kelompok manusia atau individu dalam melihat sesuatu perkara.



Kesedaran wujud adalah kerana adanya dorongan lain iaitu keinginan. Melalui keinginan ini, maka akan wujud kesedaran yang melahirkan suatu idea yang bersifat taakul. Keinginan tidak pula wujud sebegitu sahaja tanpa ada kebebasan. Kebebasan adalah asas kepada kesedaran dan keinginan. Tanpa adanya kebebasan, keinginan tidak akan wujud, begitu pula halnya kepada kesedaran. Oleh yang demikian, Hegel amat menekankan kebebasan roh dan akal seseorang manusia. Tanpa adanya kebebasan ini, maka proses perkembagan dan pembangunan minda dalam dialektikal tidak akan berlaku. Hegel menekankan tentang kebebasan ini dalam usahanya menjelaskan falsafah hak yang beliau tulis di dalam sebuah karyanya yang bertajuk philosophy of right.

Tesis merupakan satu pegangan semasa yang wujud pada suatu zaman. Anti-tesis pula merupakan satu pegangan yang berbeza, satu pegangan golongan yang minoriti. Bagi mengelakkan pertelingkahan diantara dua golongan yang berpegang kepada tesis dan anti-tesis ini, maka sintesis akan terbina. Sintesis ialah perdamaian dan permuafakatan antara kedua-duanya.


Secara tidak langsungnya, proses triad Hegel ini akan membentuk peristiwa sejarah. Kita juga boleh melihat berlakunya konstruktif (pembinaan) dalam sejarah dunia yang berpunca daripada pertentangan (dialektikal) idea yang berlaku. Namun, harus di ingat bahawa sintesis itu tidak akan kekal menjadi sintesis. Sintesis itu turut akan menjadi tesis dan akan wujud pula anti-tesis lainnya yang akan melakukan pertentangan terhadapnya (tesis).


Oleh yang demikian, apa yang berlaku dalam pertentangan ini akan memberi gambaran tentang realiti yang sebenarnya berlaku. Apa yang berlaku pada proses sejarah ini adalah kerana proses pertentangan idea diantara kelompok manusia yang bertitik tolak daripada kesedaran. Taakulan yang berbeza ini akan menyebabkan wujud taakulan idea yang akan mengharmonikan kedua pertentangan ini.

 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post

©2020 by The Pemikir.

bottom of page