Demonstrasi Baling 1974: Mahasiswa pembela Masyarakat.
- Izzat Dahelan
- Jan 30, 2020
- 8 min read

Siapakah Mahasiswa?
Menurut kamus pelajar Edisi Kedua, mahasiswa merupakan penuntut (pelajar) di Universiti. Menurut pandangan Muhamad Faisal dan Mohammad Hassan (2019) pula, Mahasiswa merupakan sekelompok anak muda yang menuntut ilmu di Institut Pengajian Tinggi pada tahap pengajian sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Dalam menjelaskan siapakah mahasiswa, Shamsul Amri Baharuddin (2007) menyatakan bahawa mahasiswa menyimpan 1001 idealisme serta idaman peribadi masing-masing yang dimotivasikan oleh persepsi indah dan sempurna yang mereka rasai dan alami di sekeliling mereka. Mereka juga akan memikir sambil merancang untuk menyusun langkah ke arah merealisasikan cita-cita atau keinginan yang diidamkan itu. Dalam usia yang muda ini, mereka berusaha membina identiti dan jati diri serta mencari pengalaman hidup yang masih panjang. Oleh yang demikian, mahasiswa merupakan kelompok manusia yang menuntut di universiti dan mempunyai idealisme serta cita-cita untuk mencapai hasrat dan impian yang sangat tinggi.
Apakah yang berlaku semasa Demonstrasi Baling 1974?
Demonstrasi Baling 1974 merupakan peristiwa sejarah yang amat penting untuk kita ketahui dan ingati. Semasa demonstrasi ini berlangsung, mahasiswa telah berkumpul bagi melaungkan kalimat pembelaan terhadap rakyat yang tertindas akibat daripada inflasi yang berlaku pada tahun 1974. Derita ekonomi yang dihadapi oleh rakyat (petani miskin) terutamanya di Baling telah menyebabkan mahasiswa ‘turun padang’ bagi menjadi kelompok pembela golongan ‘kecil’ ini.
“Peristiwa itu mula tercetus pada 19 November 1974 dan kemuncaknya pada 1 Disember 1974 apabila kira-kira 30,000 penduduk berkumpul bagi membantah kejatuhan harga getah. Penduduk mula berkumpul di hadapan Pejabat Daerah Baling (kini Majlis Daerah Baling) sebelum merebak ke seluruh pekan terutama di hadapan stesen bas Baling ketika itu.”
“Peristiwa yang dicatatkan sebagai Demonstrasi Baling 1974 itu bermula apabila sekumpulan mahasiswa universiti menghasut penduduk supaya mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kejatuhan harga getah yang terlalu rendah.”
Mahasiswa daripada beberapa buah universiti telah turun berhimpun dan berdemonstrasi. Dikatakan hampir 10 000 orang mahasiswa telah menyertai demonstrasi yang dilangsungkan. Demonstrasi itu telah menyebabkan hampir 2000 orang mahasiswa ditangkap, dan tempoh penahanan ke atas sejumlah siswa bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan antara yang paling lama pernah dikenakan kepada golongan itu.
Seorang penduduk yang ketika itu berusia 16 tahun, Idris Mat Piah, 58, berkata, ingatannya terhadap peristiwa itu masih segar.
“Ketika itu, saya masih remaja dan tidak tahu apa-apa tentang demonstrasi yang diadakan. Apa yang saya tahu, saya nampak setiap penjuru jalan raya yang masuk ke pekan Baling dibanjiri penduduk yang berarak. Mereka keluar seawal subuh, malah ada yang lebih awal sudah mula berjalan,”
Bekas pemimpin masyarakat Kampung Charok Bunting, Siong, Abdullah Sharif, 61, berkata pengalaman menyertai demonstrasi pelajar pada 1974 masih segar dalam ingatannya, walaupun ketika itu beliau berusia awal 20-an.
“Saya masih ingat demonstrasi itu dipimpin kumpulan pelajar dari Kuala Lumpur diketuai Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri) yang mengajak penduduk keluar berarak beramai-ramai bermula dari Kampung Baru, Siong."
Semasa demonstrasi berlaku, pihak kerajaan telah menurunkan Pasukan Simpanan Persekutuan atau Federal Reserve Unit (FRU) bagi menghentikan demonstrasi yang dilakukan oleh mahasiswa. Menurut catatan dalam makalah Ar-Risalah 1975,
“Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata kearahnya.”
"Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang, pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfields dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka telah ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.”
Demikianlah serba sedikit gambaran mengenai apa yang telah berlaku sewaktu demonstrasi Baling berlangsung pada tahun 1974. Menurut Hishamuddin Rais, demonstrasi oleh mahasiswa berlangsung pada 3 Disember sehingga 8 Disember 1974 di Kuala Lumpur. Hal ini juga telah menyebabkan berlakunya penangguhan peperiksaan selama sebulan di Universiti Malaya.
Apakah punca yang menyebabkan berlakunya Demonstrasi Baling 1974?
Masalah kenaikkan harga barang adalah punca kepada berlakunya Demonstrasi Baling 1974. Demonstrasi ini pada mulanya dilakukan oleh golongan petani yang menerima kesan daripada kenaikkan harga barang yang berlaku. Kemudiannya telah diperjuangkan oleh mahasiswa bagi menjadi jurubicara yang di dengar oleh kerajaan pemerintah pada ketika itu. Masalah kemiskinan ini telah menyebabkan masalah untuk mendapatkan keperluan asas oleh golongan miskin. Semasa berlakunya demonstrasi tersebut, dikatakan bahawa terdapat keluarga di Kedah telah meninggal dunia kerana kebuluran dan memakan ubi gadung iaitu sejenis ubi beracun.
Namun, Zainuddin Nordin yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan telah menafikan hal tersebut, iaitu berlakunya kematian akibat daripada kebuluran dan memakan ubi gadung. Beliau telah di arahkan oleh Mazlan Nordin yang merupakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (ketika itu) untuk ke Baling menjalankan siasatan tentang apa yang berlaku. Beliau mendapati bahawa tidak berlakunya kematian yang berpunca daripada kebuluran sepertimana yang dikatakan oleh mahasiswa yang melakukan demonstrasi.
Selain itu, masalah penurunan harga getah juga telah mendorong berlakunya Demonstrasi Baling 1974. Penurunan harga getah pada tahun 1974 adalah kepada 15 sen sekati berbanding antara 25 sen sehingga 60 sen sekati. Hal ini juga telah menyebabkan masyarakat di Baling terpaksa masuk ke dalam hutan untuk memburu haiwan dan mencari ubi gadung (menggantikan beras). Oleh kerana tidak tahan dengan kemelut yang berlaku, penduduk di Baling seramai kira-kira 30 000 orang berkumpul bagi membantah mengenai penurunan harga getah.
Sebenarnya isu ini telah digunakan sebaiknya oleh mahasiswa pada ketika itu yang merasa tidak puas hati terhadap kerajaan pemerintah. Hal ini adalah berikutan pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atau lebih dikenali sebagai AUKU 1971. Pengenalan AUKU 1974 dilihat oleh mahasiswa sebagai cara kotor pihak kerajaan pemerintah bagi mengekang mahasiswa untuk terus bergiat aktif dalam politik. Sebelum adanya pelaksanaan akta tersebtut, mahasiswa sangat aktif dalam melakukan kritikan terhadap tindak-tanduk kerajaan pemerintah yang dilihat tidak adil oleh mereka. Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku (penentangan terhadap kerajaan), pihak kerajaan telah memperkenalkan AUKU 1971 agar mahasiswa datang ke universiti ‘hanya untuk belajar’.
Oleh itu, adanya isu yang dihadapi oleh penduduk di Baling, mahasiswa telah menggunakannya dengan sebaik mungkin bagi menunjukkan penentangan terhadap kerajaan pemerintah pada ketika itu di bawah pimpinan perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak.
Kesan Demonstrasi Baling 1974
Tidak dinafikan bahawa peristiwa bersejarah dalam gerakan mahasiswa ini telah menyebabkan beberapa kesan. Demonstrasi Baling 1974 ini sebenarnya telah membuka mata kerajaan pemerintah tentang betapa hasrat mahasiswa yang bergelora dengan semangat juang tidak boleh diredakan hanya dengan pengwujudan AUKU 1971. Pihak kerajaan juga telah memberi respon terhadap demonstrasi yang dilakukan. Hal ini dapat dilihat apabila Musa Hitam (Menteri Perusahaan Utama) diutuskan oleh Tun Abdul Razak bagi meredakan demonstrasi yang berlaku. Seperti catatan Zainuddin Nordin,
“Musa berjaya menenangkan suasana dan menyuraikan tunjuk perasaan itu apabila dalam ucapannya beliau menyampaikan jaminan Tun Abdul Razak bahawa harga getah akan dinaikan serta merta. Disamping itu beliau juga memberitahu penunjuk perasaan yang ditahan akan dibebaskan segera dan kenderaan akan disediakan bagi menghantar pulang penunjuk-penunjuk perasaan yang telah berjalan kaki begitu jauh untuk menyertai perhimpunan di Baling, antara mereka ialah penoreh getah dari Sik dan Jeniang.”
Oleh itu, demonstrasi ini sememangnya berkesan dalam menyedarkan kerajaan pemerintah akan apa yang berlaku kepada rakyat.
Walaupun demikian, mahasiswa merupakan kelompok yang banyak menerima kesan negatif daripada demonstrasi yang telah mereka lakukan. Hal ini dapat dilihat apabila AUKU 1971 telah dipinda pada tahun 1975, iaitu segala pertubuhan mahasiswa adalah berdaftar di bawah universiti dengan meletakkan kuasa mutlak kepada naib canselor dan menteri yang dipertanggungjawabkan. Selain itu, kesan daripada demonstrasi itu juga, terdapat beberapa mahasiswa, pensyarah dan pemimpin belia telah ditangkap. Antara contoh tindakan yang dilakukan oleh kerajaan pemerintah seperti apa yang terdapat di dalam catatan makalah Ar-Risalah pada tahun 1975,
"Polis telah memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan (Malaysia) pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis telah menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.”
Oleh itu, Demonstrasi Baling 1974 yang ada dalam lakaran sejarah negara kita ini telah memberi kesan yang sangat mendalam, khususnya kepada gerakan mahasiswa.
Iktibar daripada Demonstrasi Baling 1974
Terdapat banyak iktibar yang boleh kita perolehi apabila membaca dan meneliti berkenaan sejarah demonstrasi yang dilakukan oleh mahasiswa ini. Mahasiswa bukanlah hanya hadir ke universiti untuk belajar semata-mata, tetapi mahasiswa adalah kelompok yang menjadi jurubicara kepada rakyat yang tertindas, tidak terpenuhi kebajikannya dan menjadi mangsa kezaliman kerajaan pemerintah yang tidak adil. Mahasiswa haruslah menjadi golongan yang bekerjasama dengan masyarakat sivil yang lain dalam memperjuangkan hak-hak rakyat di dalam negara ini.
Mahasiswa yang cemerlang dalam pelajaran, tetapi tidak mengambil tahu dan kisah akan perkara masalah sosial masyarakat di luar kampus adalah mahasiswa yang ‘Excellence without a Soul’. Kecemerlangan yang diperolehi tidak mempunyai nilai jika tidak meninggalkan apa-apa bakti kepada manusia lainnya. Kecemerlangan itu hanyalah satu kecemerlangan di atas kertas dan diraikan bersama kerabat keluarga sahaja. Hanya dijadikan sebagai kepingan kertas kebangaan, tetapi tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat lainnya. Oleh itu, mahasiswa haruslah menjadi kelompok masyarakat yang bersama masyarakat sivil dalam membela golongan yang tidak terpenuhi kebajikannya. Menjadi suara kepada masyarakat ini. Suara mahasiswa haruslah sentiasa di dendangkan dengan laungan pembelaan.
Mahasiswa seharusnya berasa jijik dan jengkel terhadap kata ‘diam’ dan ‘bungkam’. Ia adalah lambang kemunduran mahasiswa. Mahasiswa adalah golongan yang terpelajar. Mahasiswa haruslah menggunakan segala macam ‘ilmu tahu’ yang ia miliki bagi menjawab persoalan-persoalan mengenai masalah masyarakat, khususnya masyarakat bawahan. Mahasiswa haruslah melakukan jaringan yang banyak kepada aktivis-aktivis di luar kampus yang turut bergerak atas tujuan membantu masyarakat bawahan. Hal ini penting bagi memastikan desakan yang dilakukan tidak menyebabkan kerajaan pemerintah yang di desak bingung dalam membuat keputusan ‘desakan siapa harus didengar?’. Jaringan ini harus mahasiswa lakukan dengan gerakan aktivis di luar kampus supaya adanya kata sepakat dalam kalangan masyarakat sivil dalam persoalan ‘apa yang harus kerajaan lakukan?’.

Demonstrasi Baling 1974 ini sememangnya memberi gambaran yang jelas bahawa mahasiswa tidak seharusnya tunduk kepada sekatan dan apa-apa tindakan jelek yang dilakukan oleh kerajaan pemerintah dalam usaha menghalang tindakan progresif mahasiswa. Walaupun AUKU telah diperkenalkan pada tahun 1971, mahasiswa tetap bergerak dengan penuh berani dalam menentang penindasan yang dilakukan oleh politikus-politikus ‘pelupa’ apabila telah menaiki tahkta pemerintahan. Mereka ini adalah penabur janji-janji manis dan sering melaungkan kata pembelaan kepada hidup masyarakat sering ‘lupa’ akan kata-kata sewaktu meraih sokongan rakyat. Oleh itu, mahasiswa haruslah menjadi kelompok penyedar kepada mereka-mereka yang ‘lupa’ ini. Bukan hanya diam dan berkata,
“MAHASISWA KE UNIVERSITI HANYA UNTUK BELAJAR”
Itu adalah kata-kata orang yang melepaskan tanggungjawabnya. Itu adalah kata-kata mahasiswa yang terbelenggu akal fikirannya dan dicucuk hidungnya seperti lembu dan patuh sahaja kepada suruhan pemiliknya (kerajaan)!
Mahasiswa adalah golongan yang cerdik dan akal pemikirannya kritis, tidak seharusnya mudah untuk mempercayai pidato membakar dan kata-kata politikus yang hanya bertanam tebu di bibir. Jangan mudah menjadi kelompok manusia yang tunduk dan akur. Jadilah manusia yang sentiasa mempunyai sikap skeptisme terhadap apa sahaja yang dikatakan oleh politikus-politikus. Penulis percaya bahawa tidak semua politikus itu mempunyai hasrat dan niat yang ikhlas dalam bekerja untuk rakyat. Ada diantara kelompokkan ini yang kononnya bekerja dan memperjuangkan nasib rakyat, tetapi realitinya hanya menjadikan politik sebagai saluran untuk mengumpul laba dunia buat diri mereka.
Tidak kira apa pun bawaan parti politik itu (Islam atau Sekular), siapakah dirinya atau berjubahkah ia, mahasiswa harus menjadi generasi penilai yang penuh kritis. Bukan menjadi golongan yang wala’ sehingga ‘kesalahan sebesar gajah’ di depan mata pun tidak mampu untuk dilihat dan disedari.
Oleh itu, dengan hak bersuara yang telah mula dibuka ruang oleh kerajaan pemerintah pada hari ini haruslah dimanfaatkan. AUKU 1971 juga telah dilonggarkan serba sedikit yang mana membenarkan mahasiswa aktif berpolitik. Ruang-ruang ini haruslah digunakan sebaik mungkin oleh mahasiswa. Membuka mata masyarakat supaya melihat mahasiswa sebagai kelompok yang penting dalam menentu jatuh bangun negara kita Malaysia dan melihat mahasiswa sebagai golongan yang mereka boleh percaya sebagai jurubicara pembela nasib mereka!
RUJUKAN
Muhamad Faisal Ashaari & Mohammad Hasan Sharafi. 2019. "Kecenderungan Kebebasan Berfikir Mahasiswa Melayu Muslim Malaysia Dekad 1970-an". International Journal of Islamic Thought. Vol. 15. Diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Saifullah. 2012. “Demo Baling 1974: Simbol Kebangkitan Rakyat”. Dipetik dari https://www.malaysiakini.com/news/216550 pada 31 Januari 2020.
Zainuddin Maidin. 2009. “Gempar Mati Lapar di Baling”. Dipetik dari http://web.archive.org/web/20101026114012/http://www.scribd.com:80/doc/21291103/Gempar-Mati-Lapar-Di-Baling#fullscreen:on pada 31 Januari 2020.
Utusan Online. 2016. “Tiada kematian akibat kebuluran”. Dipetik dari http://web.archive.org/web/20180303175744/http://www.utusan.com.my/rencana/tiada-kematian-akibat-kebuluran-1.207428 pada 31 Januari 2020.
M. Hifzuddin Ikhsan. 2019. “Derita wilayah Miskin tiada kesudahan”. Dipetik dari https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/536941/eksklusif-derita-wilayah-miskin-tiada-kesudahan pada 31 Januari 2020.
Norhayati Umor. 2014. “Harga getah terus jatuh, peneroka tekad demo di kubu kuat UMNO”. Dipetik dari https://selangorkini.my/2014/04/harga-getah-terus-jatuh-peneroka-tekad-demo-di-kubu-kuat-umno/ pada 31 Januari 2020.
Mohd. Iskandar Ibrahim. 2018. “Pindaan AUKU diluluskan sebulat suara”. Dipetik dari https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/507721/pindaan-auku-diluluskan-sebulat-suara pada 31 Januari 2020.
コメント