BUNGKAM
- Izzat Dahelan
- Jan 27, 2020
- 7 min read
Ramai yang tidak mampu untuk bersuara. Mereka hanya mampu untuk bersuara nyaring dan melaungkan kata-kata yang tidak punya nilai. Tidak ada sesuatu isi dalam laungan itu, melainkan hanya untuk menyukakan hati mereka. Mereka boleh bersuara untuk melaungkan kata-kata merdeka. Tetapi, tidak pula tahu bahawa hidup mereka telah ditentukan separuh daripadanya. Ditentukan mereka akan mempelajari apa, ditentukan mereka akan membaca apa, ditentukan siapa orang yang akan mereka undi dalam pilihan raya, dan pelbagai lagi perkara telah ditentukan. Itu bukan tanda dirimu merdeka yang sebenar merdeka. Merdeka hanya pada mereka yang punya kuasa. Mereka yang punya kedudukan dan kuasa untuk penentuan masa hadapan negara. Merekalah yang merdeka. Namun, hal ini tidak disedari, malah suara mereka hanya dihabiskan dengan melaungkan kata yang tidak jelas sama ada benarkah ia merangkumi kehidupan kita sepenuhnya?
Ada yang bersuara untuk meraikan suatu majlis. Bersuara nyaring mereka dengan penuh tawa. Tanpa mereka hiraukan rasa tidak nyaman orang lain yang mendengar suara nyaring mereka. Begitu juga apabila tibanya waktu hujung tahun. Semua orang akan bersuara nyaring dengan laungan-laungan yang meraikan tahun baru yang akan tiba. Tetapi, waktu tahun yang mendatang itu (peralihan) tidak mereka jadikan sebagai waktu untuk melakukan refleksi tentang apa yang mereka telah capai. Tidak pula dijadikan sebagai waktu untuk mereka memikirkan apa yang mereka akan lakukan di tahun akan datang.
Mereka hanya gunakan waktu itu untuk bersuara nyaring menyata rasa gembira. Gembira kerana tahun yang semalam sudah berlalu, dan hari ini kita mulakan dengan tahun yang baru. Tiada inti dan tiada penghayatan yang sebenar-benar penghayatan. Mereka hanya gembira dengan peralihan yang berlaku. Jika mereka benar meneliti tentang perjalanan hari-hari di tahun yang lepas, dengan tidak tercapainya matlamat yang mereka telah tetapkan. Mungkin peralihan tahun itu adalah kekecewaan dan proses memujuk hati untuk meneruskan perjalanan di hari muka.
Apabila mereka diminta bersuara nyaring memperjuangkan nasib dan keseksaan yang dihadapi oleh orang lain, mereka hanya akan bungkam. Jika berlakunya penindasan nyata yang dilakukan oleh orang berkuasa ke atas diri mereka, mereka hanya akan bungkam. Jika rakan mereka, kebuluran dan tidak mendapat apa-apa bantuan oleh orang lain, mereka hanya akan bungkam. Kenapa?
Kerana takut. Mereka takut untuk menghadapi orang di atas. Mereka tidak punya rasa berani. Tetapi bersuara nyaring melanggar peraturan dan menganggu rasa telinga orang lain tanpa ada membawa apa-apa mesej dan matlamat, rasa berani akan timbul. Mereka akan berkata, ‘ini setahun sekali’, ‘bukan selalu’, dan banyak lagi alasan yang menjadi sandaran mereka.
Apakah itu bungkam?
Bungkam adalah tindakan di mana seseorang itu tidak mengeluarkan dan mengucapkan apa-apa kalimat dari mulutnya. Mengapa terjadinya bungkam ini? Tidak lain adalah kerana rasa takut yang ada dalam diri dan tidak tahu akan apa yang berlaku (atau tidak ingin untuk tahu). Bungkam apabila penindasan berlaku adalah satu perbuatan yang sebenar-benar hina. Jelas dan nyata di hadapan ada berlakunya kekejaman dan penindasan, engkau hanya berdiam dan bungkam! Itu tindakan yang sama dengan orang yang melakukan penindasan dan kekejaman itu.
Kesan Bungkam
Lalu hal ini tidaklah akan terhenti di sana. Apabila mereka bungkam, mereka sebenarnya telah meninggalkan beberapa kesan yang akan menjejaskan hidup mereka sendiri. Tiga kesan yang nyata apabila mereka bungkam adalah tidak mampu untuk mengubah nasib diri, tidak mampu untuk mengubah nasib orang lain (yang tertindas) dan telah membiarkan orang yang zalim untuk kekal berbuat penindasan dan kekejaman. Inilah kesannya yang akan berlaku jika diri kita tidak mampu bersuara dan terus bungkam!
Tidak mampu untuk mengubah nasib diri. Apabila orang lain menafikan hak kita, tetapi kita hanya bungkam. Tidak menunjukkan apa-apa reaksi perlawanan, hal tersebut akan membuatkan hak kita terus dinafikan. Nasib diri akan kekal demikian, kekal dinafikan. Malah, lebih teruk lagi adalah apabila nasib diri semakin malang dan tidak terbela. Kita hanya mengharap pembelaan orang lain, tetapi mengapa tidak sendirinya membela diri? Tidak salah meminta pembelaan, tetapi sampai bila? Sampai bila kita hanya mengharap pembelaan daripada orang lain. Kita harus bangkit dan berdiri di atas kaki sendiri dalam membela diri yang telah ditindas. Bantuan lain akan datang, pembelaan lain akan tiba. Ini kerana mereka melihat betapa nekadnya kita dalam pembelaan diri. Mana mungkin mereka akan membiarkan. Oleh itu, budaya bungkam ini hanya akan menyebabkan diri kita menghadapi masalah dalam mengubah nasib diri. Harus bersuara, harus melawan dan jangan bungkam!
Tidak mampu untuk mengubah nasib orang lain. Penulis pernah terlihat seorang ibu dan tiga orang anaknya berbaring di kaki lima. Anak-anaknya masih kecil dan tubuh-tubuh mereka sangat kotor. Pada waktu itu, penulis masih lagi berusia tujuh belas tahun. Rasa belas dan kasihan itu wujud di dalam palung hati. Tetapi, apakan daya pada tika itu yang masih lagi hidup berbekalkan wang saku daripada ibu dan ayah. Bolehkah penulis mengubah nasib mereka? Ya, sememangnya boleh. Bagaimana? Bersuara, dan tidak bungkam! Tetapi kerana diri ini mempunyai rasa takut untuk bersuara pada waktu itu. Nasib mereka terus sedemikian rupa. Hidup dalam kemiskinan, merempat dan tiada pembelaan! Boleh sahaja pada tika itu penulis bersuara dan bertanyakan kepada sesiapa yang mempunyai tahu soal kebajikan untuk membantu anak beranak tersebut. Dengan bersuara dan tidak bungkam, mungkin hidup mereka kini sudah berubah. Mungkin anak kecil di bawah jagaan seorang ibu itu kini sudah bersekolah. Tetapi kerana takut, dan tidak tahu (tidak ingin tahu), penulis hanya membiarkan mereka. Meninggalkan mereka dengan rasa berat hati. Hidup mereka tidak pula berubah dan kekal sedemikian rupa. Lalu, budaya bungkam ini akan terus kita kekalkan atau kita buang? Kita selalu ingin menjadi seorang yang jujur. Tetapi, jujur kita tidak pula diikuti dengan rasa berani. Berani untuk jujur dalam memperjuangkan nasib orang kelas bawah yang diabaikan oleh sistem yang menidakkan hak asasi manusia!
Membiarkan orang yang zalim untuk kekal berbuat penindasan dan kekejam. Orang yang melakukan kesilapan tidak akan pernah sedar akan kesilapannya jika tidak ditegur. Begitulah juga dengan orang yang berlaku zalim. Jika kita terus bungkam dan hanya membiarkan tidakannya yang jelas menindas dan kejam, maka ia akan kekal demikian. Oleh itu, perbuatan janggal orang terhadap kita haruslah kita suarakan kepadanya. Haruslah kita mempersoal dan menegur. Jika tidak boleh dengan cara yang lembut, teruskan dengan cara yang sederhana, jika tidak boleh dengan cara yang sederhana, keraslah, kurang ajar lah! Kalau tidak diberikan apa-apa respon terhadap tindakan yang salah seseorang itu, hal tersebut akan berkekalan. Pengekalan budaya yang menindas ini tidak hanya dirasai oleh kita, tetapi turut akan dirasai oleh anak cucu kita di masa depan. Kejelekan yang ada haruslah ditegur dan dikritik. Kritikan itu penting bagi memastikan kesilapan dapat dibetulkan, kekurangan dapat ditambah baik. Budaya bungkam ini juga akan menghilangkan apa yang kita sebut sebagai konstruktif. Konstruktif yang menghala kea rah pembinaan yang sentiasa berkembang.
Oleh itu, kebungkaman kita akan membawa kesan yang sangat tidak berbaloi untuk dirasai oleh kita. Suara itu jangan dibiarkan sunyi dan kalimat haruslah dinyatakan. Keluarkan kata-kata yang meyedar. Keluarkan kritikan melalui kata-kata yang disandarkan dengan fakta dan justifikasi yang indah. Jangan hanya berdiam diri dan bungkam! Suarakan pandangan yang berbeza!
Mengapa kita harus bersuara?
Tiga sebab mengapa kita harus bersuara dan tidak kekal bungkam adalah mengubah, menyedarkan dan membela.
Mengubah. Apa yang akan kita ubah apabila kita bersuara? Kita akan mengubah pegangan semasa. Kita akan mengubah nasib diri kita. Kita akan mengubah kehidupan orang lain. Bukan kepada yang lebih buruk, tetapi kepada yang lebih baik. Jika kita melihat satu penindasan berlaku, kita bersuara mengenainya. Suara kita pula di dengar, dan perubahan akan berlaku. Berlaku bagi mengelakkan penindasan itu berterusan. Begitu juga halnya apabila terdapat masyarakat yang tidak terpenuhi kebajikannya. Kita bersuara, tidak bungkam. Suara teguran kita di dengar. Perubahan akan berlaku kepada masyarakat tadi. Kita mengubah juga perhatian semasa yang terlalu tertumpu kepada hal lainnya. Dengan bersuara mengenai sesuatu isu, kita sebenarnya menarik minat orang lain untuk memahami dan mengetahui tentang apa yang kita bawa. Secara tidak langsung, mereka juga akan berpaling ke arah isu tersebut. Perhatian akan diberikan, usaha untuk mengubah akan dilakukan. Maka, penambahbaikkan dalam masyarakat juga berlaku.
Menyedarkan. Orang yang disekeliling akan sedar. Orang yang menzalimi akan sedar. Orang yang ditindas akan sedar. Ini semua dapat disedarkan apabila kita bersuara. Berbicara jelas dengan membawa hujah yang jelas dan menjentik pemikiran penuh rasionalisasi. Suara kita yang menyatakan isu, pandangan dan pembelaan pastinya akan menyedarkan golongan-golongan yang bergabung membentuk masyarakat. Apabila kesedaran ini ada, maka semua masyarakat ini akan bertindak dengan penuh produktif dan teliti. Mereka yang di bawah akan sedar akan hak mereka. Mereka yang di atas akan sedar akan tanggungjawab mereka. Mereka yang terlalu sibuk dengan isu yang tidak terlalu penting juga akan sedar tentang pentingnya diri mereka untuk turut berpartisipasi dalam bersuara mengenai isu manusia lainnya.
Membela. Hal yang amat penting apabila kita bersuara melaungkan idea dan juga perjuangan adalah pembelaan. Apa guna bersuara nyaring dan melaungkan kalimat-kalimat hebat, tetapi tujuan hanya untuk menaikkan diri di depan umum, tetapi tidak pula meletakkan niat itu menjurus kepada pembelaan? Pembelaan ini adalah satu tanda ikatan dan persefahaman antara manusia. Di sana kita telah berkongsi rasa kemanusiaan yang mendorong kita untuk membela manusia lainnya. Bersuara kita haruslah punya rasa pembelaan. Terlalu ramai manusia di luar sana tidak kita bela nasibnya. Kita terlalu hebat dalam membela tokoh politik di dalam parti yang kita sertai apabila susuk tersebut dikecam, tapi bila masyarakat bawahan tidak diendah, tidak dilayani kebajikannya, dan dinafikan haknya. Kita hanya berdiam. Bungkam. Pembelaan yang berat sebelah. Pembelaan yang bertujuan untuk ‘menjilat’ yang di atas. Itu adalah satu kesialan sikap yang dimiliki manusia apabila ia menggunakan perwatakan pentas dalam kehidupan. Bermuka-muka untuk mendapat kedudukan. Kononnya berjuang dan berparti untuk membela masyarakat bawah. Tetapi, akhirnya ditamatkan dengan menaikkan dirinya dan menambah laba untuk dirinya. Niat pembelaan yang murni harus ada, ini adalah sebabnya mengapa kita harus bersuara.
Oleh itu, budaya bungkam harus dimatikan. Budaya bungkam ini tidak lain hanya akan membawa kepada permasalahan dan kemusnahan kepada hidup dan sosialisasi masyarakat sekeliling. Kita harus mula bersuara terutamanya dalam mengutarakan idea, bantahan, pembelaan, dan kritikan. Hal ini akan membawa kepada perkembangan dalam hidup kita. Akan melahirkan satu masyarakat yang baru dan tidak dibelenggu oleh budaya ‘dari atas ke bawah’. Perubahan, kesedaran dan pembelaan haruslah menjadi asas utama apabila bersuara. Bersuara bukanlah untuk mendapat laba kepada diri sendiri. Tapi ia penting bagi tujuan untuk mengangkat isu-isu golongan bawahan khususnya, agar mereka yang tidak terpenuhi kebajikannya ini dapat merasa kehidupan yang lebih baik.
Rasa terlalu nyaman akan nikmat yang melimpah ruah terhadap diri sendiri merupakan suatu perkara yang harus kita pinggirkan dan jauhi. Lagi-lagi apabila ia membawa kepada wujudnya budaya bungkam di dalam diri kita. Budaya bungkam yang diasaskan oleh rasa takut dan tidak tahu (tidak ingin tahu). Kita haruslah merasa tidak nyaman, tidak selesa, terutamanya apabila melihat keadaan nasib manusia lainnya yang berada dalam kesukaran. Itulah satu-satunya masa untuk kita mengikat rasa persafahaman antara manusia, tanpa mengira siapa, melalui tindakan bersuara dan membela mereka.
Jika melihat penindasan, pembelaan harus disuarakan. Apa sahaja yang berbentuk penafian dan pengabaian adalah penindasan. Semua manusia punya hak untuk mendapat perhatian apabila dirinya berada dalam kesusahan.

Comments