top of page
Search

TEORI EVOLUSI GENERASI MONYET


Mungkin semua pernah melihat ilustrasi yang menunjukkan haiwan berupa monyet berjalan membongkok lalu membentuk rupa sebagai seorang manusia pada akhir perkembangan tersebut. Ilustrasi tersebut adalah hasil kerja Rudolph Zallinger yang telah mengisi 4 halaman buku yang bertajuk Early Man dan telah diterbitkan pada tahun 1965. Nama bagi ilustrasi tersebut ialah The Road to Homo Sapiens atau lebih dikenali juga sebagai The March Progress. Ilustrasi tersebut banyak digunakan oleh pendokong satu teori yang amat terkenal pada suatu ketika dahulu, teori evolusi atau Theory of Evolution.


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, evolusi membawa dua maksud iaitu yang pertama perubahan secara beransur-ansur pada haiwan atau tumbuhan daripada satu generasi kepada generasi lain dan yang kedua perkembangan secara beransur-ansur terutamanya pada bentuk yang lebih kompleks. Evolusi ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu mikroevolusi dan makroevolusi. Mikroevolusi merujuk kepada satu perubahan yang sedikit berlaku pada suatu hidupan dalam tempoh yang tidak panjang dan sebaliknya pula bagi makroevolusi yang merujuk satu perubahan yang ketara apabila ia mengubah hidupan tersebut daripada spesis A kepada spesis B dalam tempoh masa yang panjang.


Teori evolusi ini telah wujud lama dan terdapat ilmuan lain yang telah membuat penemuan berkenaan evolusi iaitu Alfred Russel Wallace. Tetapi ia mula popular apabila Charles Darwin menerbitkan hasil kajian beliau pada 1866 setelah belayar menggunakan kapal kerajaan iaitu H.M.S Beagle pada 1831. Semasa berada di sebuah pulau di perairan Pasifik iaitu Pulau Gala’pagos, Darwin telah memerhati beberapa fenomena yang beliau anggap pelik iaitu perbezaan dalam bentuk fizikal diantara hidupan yang sama spesis. Mekanisme yang membawa kepada evolusi ini telah dibentangkan oleh Charles Darwin bersama Wallace semasa pertemuan the Linnean Society of London pada 30 Jun 1858 iaitu 8 tahun sebelum Charles Darwin menerbitkan hasil karya beliau On the Origin of Species yang membincangkan tentang teori evolusi ini.


CHARLES DARWIN

Menurut Darwin dan Wallace, mekanisme yang membawa kepada berlakunya evolusi terhadap hidupan di bumi ini adalah natural selection atau dalam Bahasa Melayu boleh kita sebut sebagai seleksi semulajadi. Natural selection ini berlaku melalui persaingan diantara hidupan yang mempunyai karakteristik yang sama untuk terus kekal hidup. Persaingan ini adalah bertujuan untuk menyesuaikan diri dengan pesekitaran mereka. Lalu mana-mana hidupan yang dapat menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran tersebut seperti dapat mencari makanan, dapat hidup di kawasan yang panas dan lain-lain lagi akan berevolusi. Ia berevolusi selama tempoh hidup di persekitaran tadi lalu mewujudkan satu spesis yang baharu dan mempunyai karakteristik yang berbeza dengan karakteristik mereka yang asal. Hal ini berlaku supaya mereka dapat terus kekal dalam persekitaran yang sedia ada, proses ini akan berputar mengikut perubahan persekitaran tempat hidupan ini tinggal.



Jadi begitu jugalah yang berlaku kepada manusia, menurut Charles Darwin. Lalu beliau telah mengeluarkan pandangan bahawa manusia ini bermula daripada monyet dan berevolusi dalam ratusan juta tahun sehingga menjadikan siapa kita pada hari ini. Hal ini telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan agamawan kerana secara tidak langsung pandangan tersebut membuatkan ramai orang mempercayai teori tersebut dan tidak lagi mempercayai agama. Dalam ajaran agama, kita dikatakan sebagai seorang manusia yang telah diciptakan oleh Tuhan. Tetapi jika kita menyatakan bahawa diri kita wujud dengan sendirinya dan menjadi manusia, kita telah menolak kuasa Tuhan yang telah mencipta kita.


Polemik diantara golongan ini (Agamawan & Pendukung Idea Teori Evolusi Darwin) telah berlaku sejak sekian lama sehingga ada ilmuan-ilmuan yang mula membuat kajian baharu sehingga menolak teori evolusi ini. Antara tokoh yang amat terkenal dalam menolak dan cuba untuk menghapuskan teori evolusi Darwin ini ialah Harun Yahya di dalam buku beliau The Collapse of The Theory of Evolution. Di dalam buku ini, beliau telah menyenaraikan 20 persoalan yang digunakan untuk mengkritik dan menyatakan bahawa teori evolusi Darwin tidak boleh dipercayai.


Walaubagaimanapun, masih ada lagi beberapa golongan di luar sana yang mempercayai teori evolusi Darwin ini. Terdapat juga golongan beragama yang menerima teori evolusi Darwin ini dan pihak gereja Katolik juga telah menerima dengan baik tentang idea ini setelah menolaknya beberapa dekad yang lalu. Namun tidak bagi kita sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada al-Quran dan Hadis. Kita tetap dengan pendirian dan kepercayaan bahawa manusia dan seluruh alam ini diciptakan oleh Allah SWT. Teori evolusi ini boleh dipelajari bagi menambah pengetahuan, tetapi harus juga kita melihat hujahan yang menentang teori ini supaya kita dapat menilainya dengan lebih kritikal.


Suka untuk penulis kongsikan tentang satu hujah yang telah menghapuskan teori evolusi Darwin ini, iaitu teori Domino. Teori Domino ini telah menghapuskan teori evolusi Darwin yang menyatakan hidupan di bumi ini berevolusi. Hal ini adalah apabila ada pakar biologi menilai kembali ilustrasi yang telah dilukiskan oleh Rudolp Zallinger dan merupakan satu ilustrasi kebanggaan bagi penganut Darwinisme. Setiap mahluk yang ada pada ilustrasi tersebut tidak disusun mengikut aturan yang betul. Terdapat dua mahluk yang merupakan hidup pada zaman yang sama dan ada diantara hidupan yang telah disusun pada pertengahan aturan itu telah hidup lama. Jadi persoalannya, bagaimana mahluk A boleh berevolusi menjadi mahluk B sedangkan mahluk A dan B hidup di dalam zaman yang sama. Persoalan lainnya, bagaimana mahluk C dapat berevolusi menjadi mahluk D sedangkan mahluk D hidup lebih awal berbanding mahluk C.


Oleh itu teori evolusi Darwin ini secara sendirinya telah musnah apabila penemuan tempoh waktu setiap mahluk yang digambarkan oleh ilustrasi tersebut. Hal ini kerana menurut teori Domino jika mahluk tersebut berevolusi, semestinya ia pupus mengikut aturan yang tua sehingga yang muda. Jadi begitulah perjalanan teori evolusi Darwin yang pernah menggegar kepercayaan ramai manusia kerana dilihat seperti ada kebenarannya. Sebagai manusia yang bijak, sebelum mempercayai sesuatu kita hendaklah memeriksa dan melihat jika-jika ada pandangan yang mempunyai hujah yang kuat dan menolak pandangan yang seakan benar bagi kita. Moga bermanfaat dan menambah ilmu pengetahuan.







RUJUKAN


Cox, C. Barry & D. Moore, Peter. 2010. Biogeography: An Ecological and Evolutionary Approach. Edisi Kelapan. Diterbitkan oleh John Wiley & Sons, Inc.

Harun Yahya. 2003. The Collapes of The Theory of Evolution. Diterbitkan oleh Idara Isha’ At-E-Diniyat.

M. Abercrombie, M. Hickman, M. L. Johnson & M. Thain. 1990. Kamus Lengkap Biologi. Edisi Kelapan. Diterbitkan oleh Erlangga.

Blake, Kevin. On the Origins of “The March of Progress”. Washington University ProSPER. 2018.

Cline, Austin. “Microevolution VS Macroevolution”. Learn Religions. 2019.

Tharoor, Ishan. “Pope Francis says evolution is real and God is no wizard”. The Washington Post. 2014.

 
 
 

Commenti


Post: Blog2_Post

©2020 by The Pemikir.

bottom of page